Content

farsyi alturab

Sunday, April 18, 2010

 saya teringat sesuatu apabila melihat kembali video klip farsyi alturab.......

farsyi alturab. ini perkataan bahasa arab. perkataan ini jika dipisahkan mempunyai makna yang tersendiri.

farsyi/ firash: katil, tempat tidur, hamparan
alturab: tanah, debu, kotoran

tetapi jika digabungkan, ia memberikan sebuah makna. mungkin boleh dimaksudkan sebagai hamparan debu. apa yang istimewanya perkataan ini pada saya? inilah satu-satunya lagu arab yang dinyanyikan oleh orang arab asli (orang arab ada juga ke yang asli?) yang pertama kali saya dengari . ada kesannya selepas mendengar lagu ini.

perkataan ini pertama kali di dengari semasa saya di marhalah khassah satu di matri. lagu yang diperkenalkan kepada saya dan rakan sekelas ini ialah ustaz zaki bin ahmad. ketika itu beliau mengajar matapelajaran balaghah dan nahu yang kebetulan pada hari yang sama. pada hari rabu, selesai kelas balaghah, ustaz meminta kami agar tidak membawa buku nahu dikelas petangnya. kejutan apa agaknya mahu ustaz buat..

jam dua petang, ustaz datang ke kelas bersama laptopnya dengan dua speaker yang kecil comel. laptop dibuka dan kami diperdengarkan lagu farsyi alturab. diulangnya berkali-kali sehingga kami dapat mengangkap perkataan yang disebut oleh vokalisnya. almaklumlah, mendengar  nyanyian arab bukanlah menjadi kebiasaan. hakikatya kami sekelas terpinga sebentar dengan apa yang berlaku.

ustaz: hari ini kita tidak belajar, ana akan tuliskan lirik lagu ini dan antum semua salin.

kami menoleh sesama sendiri dan sekali lagi tertanya-tanya. ustaz tidak pula menerangkan motif beliau berbuat demikian. sampai ke sudah hingga ke hari ini saya masih tidak mengetahui kenapa ustaz mahu kami mendengar lagu itu. jika direnungkan, lagu itu penuh dengan nilai-nilai muhasabah seorang manusia terhadap kematian. memang bagus. mungkin ustaz mahu berkongsi apa yang beliau dapat dengan kami semua. terima kasih ustaz atas perkongsian lagu itu.

selepas mendengar lagu itu serta tahu lirik penuh dan maksudnya, saya mula teruja untuk mengetahui lebih banyak lagu-lagu arab yang dinyanyikan oleh orang arab asli. ianya seperti batu loncatan untuk menerokai dalam dunia muzik arab saya.

saya mungkin bersifat konsorvatif dengan muzik tempatan. boleh bilang dengan jari lagu-lagu yang saya tahu. kumpulan muzik yang saya minati hanyalah raihan, hijjaz dan opick, juga kumpulan muzik yang selalu saya dengar semasa di dalam kereta sewaktu saya masih kecil. kemana hilangnya kaset itu. saya pun tidak tahu. yang pasti lagunya bersemangat dan sarat dengan unsur-unsur perjuangan. kelihatan saya seperti out of date. sebenarnya........memang pun.

sedikit lirik yang kasetnya telah hilang yang saya cuba ingati...

titisan darah mengalir sayu
membasah bumi
mengukir taring
peluru ganas mengoyak tubuh
mencarik daging menembus tulang..

kalian pernah dengar tak lagu ini? ada sesiapa mahu dan tahu menyambungnya?

sedari dulu saya punyai kesukaran untuk menghafal lirik lagu. boleh jadi satu kebaikan, mungkin juga kelemahan. walaupun lagu itu sudah didengar berpuluh kali, namun saya masih tidak tahu turutan liriknya. saya hanya boleh menghafal jika saya berniat untuk menghafal. jika tidak, dengarlah seratus kalipun..saya tetap tidak dapat menghafalnya. mungkin terjadi kerana muzik hanya dijadikan sebagai halwa telinga. singgah di cuping telinga saja sudah cukup, tidak perlu dibawa sampai ke fikiran.

masih ingat lagi, umi berulang kali menyebut bahawa muzik ini boleh melalaikan manusia juga mengeraskan hati. ya, saya setuju dengan umi. bukankah lebih baik jika digantikan lagu ini dengan bacaan alquran dari syeikh-syeikh yang mempunyai pelbagai cara bacaannya. bukan sahaja mendapat pahala mendengar, tetapi turut melembut dan menenangkan hati. oh, damainya...

bila bercakap tentang bacaan para imam, jika disingkap kembali dunia remaja di matri dahulu, saya cukup terpesona dengan bacaan syeikh imam masyari rasheed al-afaasi. mungkin kerana pertama kali mendengar bacaan alquran yang berlenggok berirama. oh, jatuh suka dibuatnya dengan cara bacaan imam tersebut. nama pun suka, kaset-kaset bacaannya saya cari dan kumpul. menjelang cuti sekolah, diputar-putarkan kaset itu berulang-ulang kali di bilik sampai keletihan radio. kasihan...

semakin lama saya mula mengetahui para imam yang hebat bacaannya dengan pelbagai gaya dan cara. mungkin juga kerana rakan seperjuangan debat turut berkongsi video bacaan imam yang mereka dapat dengan saya. alhamdulillah.

ada sesiapa dalam kalangan kalian yang mahu berkongsi dengan saya imam-imam yang kalian minati?

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

My Ping in TotalPing.com My Zimbio