Saya suka kisah wanita salafussoleh yang memotivasikan saya untuk menjadi lebih baik dan solehah. antaranya aruneb. pernah dengar tak?? ada riwayat yang mengatakan namanya arinib. sepuluh tahun yang lalu saya sudah membaca riwayat hidupnya. kisah hidup aruneb masih segar dalam ingatan saya..
takdir allah, entah kenapa-tangan saya laju saja menekan nama aruneb di google. lalu, muncullah beberapa cerita tentang hidupnya. artikel ini credit to qatrunnada88[dot]wordpress[dot]com. cerita ini agak panjang. tapi jika dibaca dengan penuh minat-sekejap je sudah habis. pada saya, cerita ini seperti kisah laila-majnun versi islam.
*********
alkisah......
Aruneb bt Ishaq. Dia meiliki wajah yang jelita. Kejelitaannya menyebabkan ramai pemuda tergila-gilakannya. Tapi dia tabah menghadapi dugaan itu. Dia takut akan kemurkaan Allah padanya. Meskipun dia selalu bertanyakan pada dirinya, “Adakah aku seorang yang cantik? Aku takut.. Aku takut.. Sudah ramai wanita cantik mendapat kemurkaan Allah.”
Kata-kata tersebut selalu diulang-ulang dan kebimbangan itu hilang setelah ayahnya menjodohkannya dengan seorang pemuda warak. Kebahagiaan rumahtangga mereka semakin terserlah dan cahaya ketenangan menyinari kedua insan yang diberkati, iaitu suami yang soleh dan isteri yang solehah.
Tetapi keharmonian itu tak berpanjangan rupanya, sengaja Allah hendak menguji kedua pasangan tersebut. Pada suatu hari, sedang si isteri duduk berehat dirumah, tiba-tiba angin bertiup kencang, tirai pintu terselak dan kebetulan lalu seorang putera raja di hadapan rumah mereka. Ternampak putera tersebut akan si isteri tadi. Walaupun sekali imbas, wajah perempuan yang jelita itu telah benar-benar memikat hatinya.
Putera raja mula mabuk kepayang. Diadukan masalah itu kepada ayahnya, Muawiyah Bin Abu Sufian yang menjadi Khalifah pada waktu itu. Muawiyah mengetahui apa yang ditanggung oleh Yazid mengenai permasalahan cinta dan tidak untuk berkahwin dengan Aruneb. Kecewa dan seksa telah menyeksa hatinya. Dia tahu bahawa tiada jalan lain lagi untuknya mencapai hasratnya itu. Dalam pada itu Muawiyah terus mencuba dengan apa cara sekalipun perkara itu dapat diatasi dengan kepintaran dan tipu muslihatnya.
Aruneb Binti Ishaq dan suaminya Abdullah Bin Salam, mendapat surat dari Khalifah meminta Abdullah datang ke istana secepat mungkin. Setelah berbincang dengan isterinya yang dikasihi, pergilah Abdullah dan isterinya ke istana yang jaraknya beratus batu. Muawiyah telah menyediakan sebuah rumah bagi menyambut kedatangan Abdullah. Kemudian Muawiyah memanggil Abu Hurairah dan Abu Darda’ untuk menyampaikan hasrat baginda. Beliau diberitahu bahawa sebenarnya Khalifah berhajat memberi jawatan kepada Abdullah, tetapi dengan satu syarat iaitu Abdullah mesti berkahwin dengan puterinya. Berita itu diterima dengan gembira. Tak lama kemudian, rombongan peminangan pun dihantar.
Puteri Raja yang telahpun berpakat dengan abangnya sebelum itu pura-pura berkata, ‘’Abdullah Bin Salam adalah seorang calon suami yang baik, terpuji akhlaknya dan seorang sahabat Rasulullah yang terdekat. Tapi alangkah sayangnya Aruneb Binti Ishaq masih lagi isterinya. Sebagai perempuan biasa, saya bimbang akan menjadi penyakit cemburu apabila berpoligami nanti dan bimbang kemurkaan Allah pada saya. Oleh kerana itu saya tidak akan menerima pinangannya selagi beliau tidak menceraikan isterinya.’’
Akhirnya Abdullah pun menceraikan isterinya. Rombongan itupun datang semula kepada putera raja menyampaikan berita penceraian itu. Abdullah bin Salam menunggu keputusan peminangan itu. Seminggu kemudian rombongan itupun datang semula menanyakan keputusan dari puteri tersebut. Tapi kesemua mereka merasa hampa apabila si puteri berkata, ‘’Saya tidak menyangka Abdullah terlalu terburu-buru menceraikan isterinya tanpa berfikir panjang. Mungkin saya juga akan diperlakukan begitu apabila Abdullah menemukan gadis cantik yang lebih bijak dari saya. Katakan padanya saya menolak peminangannya.’’
Kini fahamlah Abdullah bahawa beliau telah tertipu. Abdullah menjadi sedih dan serba salah. Walaupun begitu, dengan iman di dadanya, dia berserah segalanya kepada Allah kerana dia tahu segala yang berlaku adalah ujian dari Allah dan Abdullah mengharan pembelaan dan rahmat Allah.
Setelah Aruneb diceraikan suaminya yang amat dikasihi itu, dia tidak menyalahkan suaminya, juga tidak menyalahkan sesiapa, sebab padanya, suami bukanlah matlamat hidupnya tetapi sebagai jalan untuk mengahmpirkan dirinya kepada Allah. Aruneb sedar, dia perlu menguatkan pergatungannya pada Allah dan tidak mahu membiarkan hatinya cacat kerana perceraian iru.
Aruneb meyakinkan kepada dirinya bahawa hidup bukanlah semata-mata untuk kegembiraan di dunia, tetapi hidup untuk Allah dan mencari bekal untuk kembali ke alam kekal di akhirat. Perceraian yang berlaku sedikitpun tidak memberi kesan kepada hatinya, malah dia benar-benar yakin bahawa setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya atau inilah caranya Allah menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Dalam masa iddahnya, dijaga maruah dirinya sungguh-sungguh, dengan rasa taat kepada Allah yang semakin menebal, rindu dengan syurga Allah, dan takut dengan neraka Allah. Aruneb menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran, wirid, zikir dan mempertingkatkan ibadat sunat.
Di malam hari, beliau menghadakan wajahnya kepada Allah, mengadu, merayu dan merintih pada Allah. Setiap lkali sujudnya, airmata tumpah membasahi sejadah kerana rasa malu dan rasa kehambaan yang amat sangat pada Tuhan yang Maha Agung dan Maha Melihat akan hamba-hambanya. Setiap kali terbaca akan ayat-ayat amaran daripada Allah dalam Al-Quran, Aruneb menjadi sebak sehingga terjatuh dan pengsan.
Kecantikan yang Allah berikan padanya, sedikitpun tidak menimbulkan rasa riak, sombong dan ‘ujub. Sebaliknya kecantikan itulah yang menimbulkan fitnah yang menjadi penyebab Aruneb berpisah dengan suaminya. Kecantikan yang Allah kurniakan menjadikannya takut pada Allah, bimbang akan kemurkaan Allah kalau disalahgunakan.
Aruneb menjadi lebih berhati-hati dan sentiasa melindungi rupa paras dan tubuh badannya dari mata-mata keranjang. Aruneb sangat bimbang kalau perkara lepas berulang kembali. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Setiap kali Aruneb keluar rumah, dia pasti mengenakan jilbabnya. Auratnya dijaga sungguh-sungguh dan pandangan matanya ditundukkan dari melihat perkara yang haram.
Muawiyah segera memberitahu anaknya Yazid tentang perihal yang berlaku dari tipu helah yang dilakukan. Setelah tamat ‘iddah Aruneb, Muawiyah mengutus Abu Darda’ ke ‘Iraq untuk meminang Aruneb. Abu Darda’ berangkat untuk menjalankan tugas yang diserahkan untuknya.
Dalam perjalanan ke rumah Aruneb, Abu Darda’ berfikir adalah lebih baik kalau dia singgah kerumah Saidina Hussein bin Ali. Dia bermaksud untuk memberi salam kepadanya dan mendapat berkat daripada anak kepada puteri Rasulullah S.A.W yang juga merupakan penghulu para pemuda penghuni syurga di hari kiamat. Apabila Abu Darda’ tiba di rumah Saidina Hussein, beliau menyampaikan hasrat untuk meminang Aruneb, Saidina Hussein juga turut menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Aruneb dan meminta Abu Darda’ menyampaikan hasratnya.
Aruneb menerima kedatangan dua orang tetamu besar, iaitu Abu Darda’ dan Abu Hurairah R.A. Dari balik tirai, kedua orang itu menyampaikan perutusan simpati daripada Khalifah Muawiyah dan juga peminangan untuk Yazid Bin Muawiyah yang bakal menjadi pengganti Khalifah. Abu Darda’ juga menyampaikan peminangan dari Saiyidina Hussein.
Abu Darda’ menyuruh Aruneb anak saudaranya itu memilih antara kedua orang tersebut. Namun Aruneb lebih suka kalau Abu Darda’ yang memilih sendiri untuknya. Pada mulanya Abu Darda’ menolak permintaan itu, namun setelah didesak oleh Aruneb, akhirnya Abu Darda’ pun berkata, “Wahai anak saudaraku, putera dari puteri Rasulullah lebih kusukai dan lebih kusetujui kerana aku pernah melihat Rasulullah menaruh kedua bibir baginda pada bibir Hussein sewaktu kecilnya, maka taruhlah kedua bibirmu ditempat Rasulullah manaruh kedua bibir baginda.”Mendengar kata-kata itu, Aruneb terus bersetuju, itulah satu-satunya jalan keluar untuk menyelamatkan dirinya. Berkahwinlah ia dengan Saiyidina Hussein bin Ali dengan mas kahwin yang besar. Apabila berita itu sampai kepada Muawiyah, dia murka sekali seraya memandang rendah sikap Abu Darda’ itu. Dia menuduh Abu Darda’ bodoh dan buta.
Abdullah bin Salam menerima berita perkahwinan Aruneb dengan gembira, kerana Aruneb mendapat suami yang mulia kedudukannya. Dan sesungguhnya dia juga tidak berapa suka jika Aruneb jatuh ketangan Yazid. Abdullah bin Salam hidup seorang diri dalam keadaan kemiskinan dan kesempitan. Namun dia tetap bersyukur kepada Allah atas kurniaan Allah kepadanya selama ini. Dalam pada itu, Abdullah teringat dia pernah menyuruh Aruneb menyimpan sebiji permata dan permata itu sangat berguna di saat-saat kesempitan begini. Lalu diapun mendatangi rumah Saiyidina Hussein untuk meminta semula permata itu dari bekas isterinya itu.
Abdullah masuk ke rumah Saiyidina Hussein dan menyampaikan hajat kedatangannya. Saiyida Hussein pun menyuruh Aruneb menyerahkan barang tersebut. Abdullah menerima barang itu seraya mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada Aruneb dan memujinya kerana baik budi pekertinya. Saiyidina Hussein keluar dan membiarkan mereka berdua sebentar. Abdullah lalu membuka simpulan kantung anmanat itu, dan mengeluarkan segenggam mutiara dari kantung itu, lalu menghulurkan kepada Aruneb. Abdullah dengan hiba menangis, Aruneb juga turut sedih dan menangis. Tangisan mereka didengari Saiyidina Hussein lalu ia berkata, “Aku bersaksi kepada Allah bahawa aku menceraikan Aruneb tiga kali. Aku mengahwininya bukan kerana kecantikannya tetapi untuk menyelamatkannya dan menyerahkan kembali kepada suaminya.”
Alangkah gembira dan bersyukurnya mereka kepada Allah atas kurniaan yang tidak disangka-sangkanya itu. Aruneb ingin menyerahkan kembali maskahwin yang besar yang diberikan Saiyidina Hussein kepadanya. Tetapi Saiyidina Hussein menolak, “Apa yang ada disisi Allah itu lebih baik dan abadi.”
Begitulah kehidupan para sahabat Rasulullah, generasi bertaqwa yang tiada bandingannya. Alangkah indahnya kehidupan mereka. Semoga Allah mengangkat darjat mereka setinggi-tingginya. Maka pulanglah Aruneb kepada Abdullah bin Salam dan kembalilah kebahagiaan dalam rumahtangga mereka setelah dilambung ombak dan badai yang begitu hebat. Berkat kesabaran dan redhanya kepada Allah, tidak tercacat sedikitpun hati mereka dengan apa yang telah Allah tentukan.
***********
apa pandangan korang tentang cerita ini? jujurnya,saya tidak percaya bulat-bulat dengan kisah ini. boleh jadi cerita benar-boleh jadi tidak. sempat juga saya cari di beberapa website arab tentang kesahihan cerita ini-memandangkan kisah hidupnya dalam bahasa melayu amatlah sedikit.
berdasarkan apa yang saya baca di website http://wahajr.net (sila buka untuk dapatkan kepastian), didapati kisah ini hanyalah mitos moden sahaja. admin website dapat membuktikannya dengan jelas apabila kajian secara terperinci dilakukan tentang hidup aruneb dan suaminya abdullah bin salam(pemerintah iraq). antara keraguan yang ada pada cerita ini ialah:
- tahun kematian abu darda' r.a adalah tahun kelahiran yazid bin muawiyah
- abdullah bin salam r.a adalah pemerintah iraq sebelum muawiyah
- apabila saidina hussein menceraikan aruneb-ada keraguan yang nyata pada riwayatnya.
saya lebih yakin dengan jawapan-jawapan admin website tu-kerana mereka bercakap dengan fakta...walaupun ada keraguan pada kebenaran cerita ini,sekurang-kurangnya cerita ini mempunyai teladan untuk di ambil pengajaran. kan?
p/s: janganlah sesekali mempercayai sesuatu berita atau cerita tanpa dipastikan dahulu kesahihannya..

0 comments:
Post a Comment